Monday, June 30, 2014

Resepi Air Asam Ikan Bakar Sedap



RESEPI AIR ASAM IKAN BAKAR MUDAH



Adakah anda berasa bosan dengan menu makanan anda yang hampir sama setiap hari? Adakah anda berasa jemu dengan hidangan yang asyik menggunakan resepi sama? Adakah anda ingin memakan sesuatu yang baru dan enak? Kalau begitu, ikan bakar air asam pasti menjadi pilihan anda. Aroma ikan yang dibakar bersama balutan daun pisang sudah pasti membuka selera sesiapa sahaja yang terbau akan keharumannya. Keenakan makanan tersebut  boleh dilihat dari segi peningkatan peminat- peminat ikan bakar di negara kita.


Ikan bakar merupakan sebuah hidangan ikan yang dibakar dengan menggunakan kayu arang. Makanan ini sangat popular di Indonesia, Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain. Secara umumnya, ikan bakar dibuat dengan melumurkan dagingnya di dalam rempah atau sambal belacan. Kemudian, ikan tersebut akan dibakar dalam api yang rendah. Kadangkala ikan dibakar dengan membalutnya di dalam daun pisang atau daun lengkuas untuk menambahkan keenakan. Selepas dibakar, makanan dihidangkan serta-merta sebab ikan bakar yang panas sedap dimakan.


Pelbagai jenis ikan digunakan untuk menyediakan ikan bakar termasuk ikan sembilang, pari, talapia, kembung, cencaru dan lain-lain.  Jenis ikan untuk jadikan ikan bakar terpulang dengan citarasa masing-masing. Tetapi, kita masih boleh meggunakan resepi yang sama untuk semua jenis ikan untuk membuat makanan ini. Rasa dan bau harumannya berbeza bagi setiap jenis ikan bakar Biasanya, kayu arang digunakan untuk membakar ikan. Tetapi, sekarang di zaman moden ini, terdapat banyak kemudahan seperti oven dan ‘non-stick’ kuali yang boleh digunakan untuk membakar ikan tanpa mengubah rasa aslinya.


Terdapat dua jenis ikan bakar yang dikomersialkan di seluruh tempat, iaitu ikan bakar air asam dan ikan bakar berempah. Ikan bakar asam adalah ikan yang dicuci bersih dan dibakar terus dengan menambahkan garam sahaja. Selepas itu ikan ini dicicah bersama air asam dan dimakan. Ikan bakar berempah pula, ikan dibakar bersama rempah ratus atau bahan masakan yang disapu di bahagian luar dan dalam ikan. Ikan bakar ini selalunya dimakan bersama sambal belacan. Walaubagaimanapun, jenis ikan bakar dan kuah sampingannya bergantung kepada setiap individu dan setiap kombinasi mempunyai rasa sedap yang berlainan.


 Pada zaman sekarang, ramai orang sibuk dengan hal urusan sendiri. Mereka tidak ada masa untuk membeli dan memasak di rumah. Akibatnya, mereka terpaksa bergantung pada makanan yand disediakan di kedai makanan, restoran atau hotel. Kalau ada masa pun, bagi warga kota, susah untuk mendapat ikan yang segar dan digemari. Kesannya, sekarang banyak restoran dan kedai makanan telah pun menambahkan ikan bakar dalam kad menu mereka. Mereka yang meminati masakan ikan bakar bolehlah merasa pelbagai jenis ikan bakar dan kuahnya yang sedap dan berbeza-beza tanpa bersusah-payah atau berjalan jauh. Antara tempat yang paling popular di Malaysia untuk makan ikan bakar adalah Umbai di Melaka dan Tanjung Harapan di Pelabuhan Klang,Selangor, Tanjung Lumpur, Kuantan serta Hutan Melintang di Perak.


Salah satu keistimewaan makanan ini adalah penyediaan masakan ikan bakar air asam mudah dan ringkas. Bahan-bahan masakan juga boleh didapati dengan mudah dan kita tidak perlu mengeluarkan wang yang besar untuk menyediaknnya. Makan ini memang sesuai untuk semua golongan terutama pelajar dan pekerja yang tinggal di asrama. Pelajar atau pekerja selalunya balik rumah dalam kelaparan dan terpaksa tunggu berjam-jam di kedai atau restoran untuk makan. Masalah ini boleh diselesai sekiranya mempelajari cara membuat resepi ikan bakar air asam. Ini kerana masakan ini hanya mengambil beberapa minit sahaja untuk disiap dan cara penyediaan juga sangat ringkas. Bagi suri rumah, mereka bolehlah memasak resepi ikan bakar air asam ini setiap hujung minggu agar keluarga mereka tidak jemu dengan masakan rumah.


Ikan Bakar

Resipi ikan bakar mudah dan senang untuk dibuat di rumah. Bahan-bahan masakan juga mudah diperolehi dan tidak memerlukan wang yang lumayan untuk menyediakannya. Dengan mengikuti cara penyediaan yang dibagi di bawah, sudah tentu anda boleh membuat ikan bakar yang paling sedap untuk seisi keluarga anda. Selalunya, ikan dibakar dengan menggunakan garam sahaja. Ini adalah kaedah paling mudah dan cepat untuk membuat ikan bakar. Tetapi, bahan masakan lain seperti kunyit, daun ketumbar, bawang putih dan lain lain akan diguna untuk  menambahkan keenakan ikan bakar. Berikut adalah ramuan dan cara membuat ikan bakar di rumah.




Ramuan :

2 ekor ikan kembung  (jenis ikan terpulang dengan citarasa anda)

Garam secukupnya

2 sudu mentega cair

4 sudu air jeruk nipis

3 ulas bawang putih

Daun ketumbar yang diperlukaan

Kunyit yang diperlukan


Cara penyediaaan:

1.      Bersihkan ikan dari sisik dan bahagian dalam ikan.

2.      Bawang putih dipotong dengan halus. Daun ketumbar ditumbuk agak kasar.

3.      Ikan yang telah dibersih dilumurkan dengan  air jeruk nipis, kunyit, bawang putih, daun ketumbar dan garam .

4.      Campuran tersebut dibiarkan selama sekurang-kurangnya setengah jam agar semua bahan campuran tadi meresap.

5.      Ikan dibakar di atas kuali ‘non-stick’ atau di dalam oven.  Ikan bakar lebih sedap kalau dibakar dengan menggunakan kayu arang. Sekiranya, kayu arang digunakan, bakar ikan dengan api yang kecil dan pastikan kulit ikan tidak terkena api secara langsung. Ini adalah untuk memastikan isi dalaman betul-betul masak dan mengelakan kulit ikan dari hangit .

6.      Sambil mambakar, mentega cair disapukan untuk menambahkan keenakan. Sekiranya, anda tidak mahu menggunakan mentega cair, daun pisang atau daun lengkuas boleh digunakan. Bungkus ikan dengan daun pisang atau lengkuas dan bakar.

7.      Semasa membakar, pastikan membalik ikan berkali-kali supaya kedu-dea belah ikan tersebut dimasak penuh. 

8.      Setelah dibakar selalunya beberapa minit, ikan siap untuk disajikan.



Air Asam

Air asam boleh dikatakan sebagai ‘pasangan sempurna’ untuk ikan bakar. Ini adalah kerana, bukan sahaja di restoran, malah di rumah pun ikan bakar selalu disajikan bersama air asam. Biasanya, resepi air asam ikan bakar disediakan dari perahan asam limau atau asam jawa. Kelazatan ikan bakar bergantung pada air asam. Jadi, air asam yang kita sediakan itu mestilah ada masam, masin, manis dan pedas secukup rasa. Resepi air asam ikan bakar ini digemari oleh orang ramai sebab penyediannya mudah dan ringkas. Berikut adalah cara-cara membuat resepi air asam ikan bakar di rumah.


Ramuan

10 biji cili padi ( boleh tambah atau kurang ikut suka )

1 biji buah tomato

1 bawang merah (besar)

2 ulas bawang putih

1 cawan air asam jawa

1 inci belacan

Garam

Gula

Perisa (Ajinomoto)


Cara penyediaan:

1.      Asam jawa diperah dengan anggaran 1 cawan air suam dan dileraikan dengan sudu kemudian diambil patinya.

2.      Langkah pertama diulangi dengan menggunakan 1/2 cawan air suam untuk mengambil baki pati air asam tadi.

3.      Air asam yg telah diambil patinya telah disediakan dan diketepikan.

4.      Belacan dibakar. Kemudian lenyekkan dan hancurkan belacan tadi dgn menggunakan sudu dan sedikit air asam yg telah diperah tadi.

5.      Bawang merah dikupas kulitnya dan dipotong halus. Simpan bawang merah itu dalam satu bekas berlainan. Tomota juga dipotong dan dicampurkan sekali.

6.      Cili padi dipotong kecil-kecilan dan dimasukkan ke dalam mangkuk yang ada bawang merah. Bawang putih yang telah pun direbus, ditumbuk sekali dan dicampurkan sekali.

7.      Garam dan gula yang secukupnya dimasukkan. Perisa seperti ajinomoto boleh dicampurkan untuk menambahkan kesedapan air asam.

8.      Kemudian, masukkan belacan diikuti dengan pati air asam yang telahpun disediakan pada awal tadi di dalam mangkuk tersebut.

9.      Akhirnya, gaulkan semua bahan-bahan tersebut. Pastikan air asam tidak pekat atau cair sangat. Sekiranya pekat air suam ditambah. Kalau terlalu cair, tambahkan bahan masakan seperti cili, bawang merah atau tomota ikut citarasa anda sendiri.

10.  Sekarang, air asam telah pun disiap untuk dimakan bersama ikan bakar.


Untuk merasakan pelbagai rasa, kita boleh membuat ikan  bakar dengan menggunakan berbagai-bagai jenis ikan bersama kuahnya yang  berperanan sebagai penyedap rasa. Walaupun, ikan bakar air asam ini merupakan makanan tradisional kaum melayu, kaum lain seperti kaum china, india dan lain-lain mula meminati makanan ini disebabkan  keenakan yang tidak terhingga.






2 comments: